OGOS 2025

Premier Sarawak Terima Kunjungan Menteri Kanan Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja


KUCHING, 14 OGOS 2025 - Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kanan Bertanggungjawab Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja Neak Oknha Datuk Dr Othsman Hassan di Kompleks Satria Pertiwi pada Khamis. 

Delegasi Kemboja turut disertai Ahli Parlimennya Rofy Othsman, tiga Penasihat Kerajaan Diraja Kemboja iaitu Nasiet Othsman, Aly Mosa dan Lep Emoskan. 

Turut mengiringi Datuk Dr Othsman ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi. 

Pada sidang media selepas kunjungan hormat tersebut, Datuk Dr Othsman menyatakan hasrat dari negara Kemboja untuk bekerjasama dengan Sarawak bagi membangunkan sektor agrikultur yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. 

Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan penerbangan terus daripada Kuching ke Phnom Penh apabila syarikat penerbangan AirBorneo mula beroperasi kelak. 

Sejurus itu, Premier Sarawak kemudiannya menerima kunjungan hormat kedua dari Nextgreen Enviro (Sarawak) Sdn Bhd dan Onlyee Flora Sdn Bhd diketuai Tan Sri Yee Ming Seng bersama rombongan. 

Hadir bersama dalam kunjungan itu ialah Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datuk Lester Matthew dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari bin Awang Mahmood. 

Kemudiannya, kunjungan hormat ketiga diakhiri dengan Majlis Penyampaian Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) KKB Engineering Berhad. 

Premier Sarawak menyaksikan penyampaian sumbangan oleh Pengerusi Eksekutif KKB Engineering Berhad Dato Sri Kho Kak Beng kepada Persatuan Kebajikan Petra Jaya yang diterima oleh Dato Haji Abang Shamshudin bin Abang Seruji dan Dr Haji Ismail bin Drahman. 

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan KKB Engineering Berhad, Kho Pok Tong.